Print

GAP YEAR

. Posted in Uncategorised

UTHM gapYrBanner 3

1.0 PENGENALAN

Program Gap Year telah diumumkan semasa Majlis Amanat Menteri Pendidikan Tinggi 2017 bagi memenuhi Lonjakan 1 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015 – 2025 (Pendidikan Tinggi) PPPM(PT) iaitu melahirkan graduan holistik, seimbang dan bercirikan keusahawanan. Gap Year merupakan program yang akan dilaksanakan dalam jangka masa setahun untuk pelajar membuat refleksi dan penerokaan diri menerusi program kesukarelawanan (a year of self-reflection and self-discovery through volunteerism). Gap Year direkabentuk dengan keistimewaan yang membenarkan pelajar memilih untuk menangguhkan pengajian bagi melaksanakan kerja-kerja kesukarelawanan yang telah direncanakan dengan agensi yang terpilih.

Terdapat tiga bentuk program Gap Year iaitu :

Gap Year - Kesukarelawanan Khidmat Negara,
Gap Year - Kesukarelawanan; dan
Gap Year - Umum.

1.1 Gap Year - Kesukarelawanan Khidmat Negara

Program ini akan menempatkan pelajar yang berminat ke agensi-agensi badan beruniform iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia(ATM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia(APM). Terdapat dua Universiti Awam (UA) yang akan menjadi peneraju kepada program Gap Year - Kesukarelawanan Khidmat Negara iaitu Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Pelajar akan berkhidmat sebagai sukarelawan di tiga agensi tersebut selama 1 tahun.

1.2 Gap Year - Kesukarelawanan

Program Gap Year - Kesukarelawanan merupakan program yang pelajar untuk melaksanakan aktiviti kesukarelawanan selama 3 hingga 9 bulan mengikut program yang ditawarkan oleh universiti peneraju bersama agensi yang terlibat. Universiti bersama agensi yang menawarkan program Gap Year - Kesukarelawanan dalam kategori ini adalah seperti berikut :-

1.2.1 Universiti Utara Malaysia (UUM) – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)
1.2.2 Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)
1.2.3 Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) – Islamic Relief Malaysia (IRM)
1.2.4 Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) – Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA)
1.2.5 Universiti Malaysia Terengganu (UMT) – Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA)
1.2.6 Universiti Malaysia Sabah (UMS) – Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK)
1.2.7 Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) – Kementerian Pendidikan Malaysia(KPM) dan Jabatan Pendidikan Negeri Perak(JPNP).

1.3 Gap Year - Umum

Program Gap Year - Umum terbuka kepada pelajar yang ingin menangguhkan pengajian yang meliputi penglibatan aktiviti sukan, keusahawanan, meningkatkan kemahiran, pelancongan dan lain-lain aktiviti. Aktiviti yang dirancang oleh pelajar perlu mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh universiti masing-masing. Tempoh minimum program adalah selama satu semester dan tempoh maksimum adalah selama satu tahun kalendar akademik. Program ini tidak mempunyai struktur spesifik seperti program Gap Year - Kesukarelawanan Khidmat Negara atau Gap Year - Kesukarelawanan. Pelajar bebas memilih program yang bermanfaat dan menambah nilai kemahiran.

2.0 TUJUAN

Garis panduan ini bertujuan memberi keterangan dan penjelasan mengenai objektif, syarat dan prosedur permohonan serta tanggungjawab pelajar, universiti dan agensi dalam melaksanakan program Gap Year.

3.0 OBJEKTIF GAP YEAR

Program Gap Year ini dilaksanakan bagi mencapai objektif yang berikut:

3.1 memberi ruang dan peluang kepada pelajar untuk menimba ilmu dan pengalaman sehingga satu tahun dengan melaksanakan aktiviti kesukarelawanan;
3.2 meningkatkan kemahiran insaniah dan kebolehpasaran graduan;
3.3 meningkatkan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan agensi yang terlibat menerusi penggembelingan tenaga sukarelawan pelajar;
3.4 memupuk semangat keterlibatan komuniti di samping menjimatkan kos pengurusan agensi; dan
3.5 mendapat manfaat secara tidak langsung hasil pelaksanaan program kesukarelawanan yang dijalankan oleh pelajar menerusi program pembangunan komuniti dan kesejahteraan rakyat.

4.0 SYARAT DAN PROSEDUR PERMOHONAN

4.1 Syarat-syarat Kelayakan

Pelajar yang layak menyertai program Gap Year mestilah memenuhi kriteria seperti berikut :
4.1.1 Warganegara Malaysia;
4.1.2 Berdaftar dengan UA;
4.1.3 Memenuhi syarat-syarat kelayakan yang ditetapkan oleh agensi berkenaan;
4.1.4 Pelajar tahun kedua dan ke atas yang belajar secara sepenuh masa di peringkat Diploma atau Ijazah Sarjana Muda;
4.1.5 Tempoh program Gap Year yang ingin disertai tidak melebihi satu tahun pengajian akademik; dan
4.1.6 Pelajar hanya dibenarkan untuk menyertai SATU kali sahaja program Gap Year sepanjang pengajian.

4.2 Prosedur Permohonan

Pelajar yang berminat menyertai program Gap Year hendaklah melalui prosedur berikut:-

4.2.1 menghantar borang permohonan rasmi Gap Year (Lampiran 1) yang boleh diperolehi daripada laman web universiti peneraju seperti dalam Jadual 1 kepada Jawatankuasa Gap Year UA masing-masing:

Bil IPTA Agensi Strategik Program Jangkamasa
 1. UiTM APM Sukarelawan APM 1 tahun akademik
2.  UiTM ATM Sukarelawan ATM 1 tahun akademik
3.  UKM PDRM Sukarelawan PDRM 1 tahun akademik
4.  UUM  JKM  Perkongsian Pintar Kesukarelawan UUM – JKM (PINTAS UUM – JKM)  3 bulan
atau 3 bulan +1 semester
5. UTHM JKM Sukarelawan JKM: Volunteer to Institution (V2i)- ( Sila Klik untuk mohon Sukarelawan JKM) 1 tahun akademik
6. USIM IRM Program Pembangunan Komuniti 1 tahun
7. UniSZA JAKOA Menongkah Puncak :Pemerkasaan Pendidikan Orang Asli 3 bulan
8. UMT NADMA Mahasiswa@Cakna : Kesukarelawanan Bencana 3 bulan
atau 3 bulan +1 semester
9. UMS DBKK My City, My Responsibility 3 bulan
10. UPSI KPM & JPNP Tuisyen Bitara 1 tahun akademik

Jadual 1 : Senarai universiti peneraju dan agensi terlibat dalam program Gap Year


4.2.2 menyediakan kertas kerja sekiranya memilih untuk menyertai program Gap Year - Umum berdasarkan format yang telah disediakan (Lampiran 2);

4.2.3 mengemukakan permohonan lengkap sebelum tarikh tutup permohonan. Permohonan yang lengkap sahaja akan diproses; dan

4.2.4 memohon kepada pihak agensi, universiti peneraju dan universiti pemohon secara bertulis (Lampiran 3) sekiranya pelajar ingin memendekkan tempoh atau menarik diri daripada pelaksanaan program Gap Year.

5.0 TANGGUNGJAWAB

5.1 Pelajar

Pelajar yang menyertai program Gap Year mestilah :-
5.1.1 melaksanakan pemeriksaan kesihatan bagi tujuan permohonan;
5.1.2 mematuhi undang-undang yang sedang berkuatkuasa;
5.1.3 menjaga nama baik kementerian, universiti dan agensi;
5.1.4 mematuhi etika dan peraturan agensi sepanjang melaksanakan program Gap Year; dan
5.1.5 menyediakan laporan mengikut keperluan yang ditetapkan oleh universiti peneraju dan agensi masing-masing.

5.2 Universiti

5.1.1 Universiti Pemohon

i. membuat hebahan kepada pelajar universiti masing-masing berdasarkan hebahan universiti peneraju;
ii. menyaring permohonan pelajar mengikut kriteria universiti peneraju;
iii. menyalurkan permohonan kepada universiti peneraju; dan
iv. memastikan pelajar dilindungi dengan insurans yang berkaitan.

5.1.2 Universiti Peneraju

i. membuat hebahan kepada pelajar universiti masing-masing;
ii. memilih permohonan pelajar yang lengkap mengikut kriteria universiti peneraju;
iii. mengadakan perbincangan dengan agensi berkenaan penempatan;
iv. mengeluarkan surat penawaran kepada pelajar yang layak sekurang-kurangnya dua minggu sebelum tarikh program diadakan;
v. menjalankan sesi latihan yang bersesuaian mengikut keperluan agensi;
vi. memastikan pelajar mendapat penempatan yang bersesuaian;
vii. memantau aktiviti kesukarelawanan pelajar;
viii. menilai aktiviti kesukarelawanan pelajar (jika berkaitan); dan
ix. universiti peneraju boleh memberhentikan pelajar yang tidak mematuhi syarat Gap Year dengan persetujuan agensi dan memaklumkan kepada universiti pemohon.

5.2 Agensi

5.2.1 memastikan pelajar tertakluk kepada syarat yang telah dipersetujui antara agensi dan universiti awam;
5.2.2 mengadakan perbincangan dengan universiti peneraju berkenaan penempatan;
5.2.3 menerima pelajar yang telah dipilih oleh universiti peneraju;
5.2.4 memantau aktiviti kesukarelawanan pelajar;
5.2.5 menilai aktiviti kesukarelawanan pelajar (jika berkaitan);
5.2.6 menjaga kebajikan dan keselamatan pelajar; dan
5.2.7 mencadangkan untuk memberhentikan pelajar yang tidak mematuhi syarat Gap Year dengan memaklumkan secara bertulis kepada pihak universiti peneraju.

6.0 PENUTUP

Adalah diharapkan garis panduan ini dapat membantu pelajar khususnya untuk mencapai objektif program Gap Year iaitu menyemai semangat kesukarelawanan, patriotisme dan perpaduan. Garis panduan ini diterbitkan agar dapat memberi panduan kepada semua pihak termasuk pelajar, universiti dan agensi dalam melaksanakan program Gap Year. Penerbitan ini adalah sebagai sumber rujukan dalam merealisasikan program Gap Year selaras dengan PPPM (PT).

Nota: Garis panduan ini adalah tertakluk kepada peraturan-peraturan yang sedang berkuatkuasa.